WAWANCARA KHAS OLEH MOHD IRSYADI ABU BAKAR, wartawan majalah I
Satu penghormatan menerima kunjungan Syeikh Raed Salah, pejuang pembebasan al-Aqsa dari cengkaman Israel. Beliau bukan sahaja tokoh yang digeruni oleh rejim Israel, malah pernah menjadikan dirinya perisai manusia untuk menghalang orang Yahudi memasuki dan mencemari kesucian Masjid al-Aqsa.
Beliau yang terkenal dengan julukan Syeikh al-Aqsa ini pernah dipenjarakan dua tahun oleh Israel kerana keberaniannya berjuang mempertahankan tanah air. Kedatangan tokoh perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa ke Malaysia telah membuka lembaran baru kisah-kisah jihad di sana.
LEBIH 30 TAHUN SHEIKH TELAH TERLIBAT DALAM PERJUANGAN INI, BAGAIMANA BERMULANYA PENGLIBATAN SYEIKH SEBAGAI AKTIVIS PEMBEBASAN MASJID AL-AQSA?
Segalanya bermula sejak kecil lagi, saban hari ibu tidak pernah jemu bercerita tentang abang dan bapa saudara yang terkorban dalam memperjuangkan bumi Palestin. Kisah-kisah syahid ini membakar semangat saya untuk turut sama menawarkan diri dalam perjuangan ini. Sewaktu saya remaja berlaku pertembungan pemikiran antara atheis, mazhab dan orientalis. Apa yang dipelajari di sekolah tidak banyak membantu saya ketika itu. Hinggalah suatu ketika saya terjumpa sebuah buku yang bertajuk Percubaan Memahami Semasa Menurut al-Quran tulisan Dr. Mustafa Mahmud. Alhamdulillah, Allah SWT mempertemukan saya dengan bantuanNya. Pembacaan buku itu banyak membantu saya mengenal hala tuju perjuangan yang diwarisi anak-anak Palestin. Saya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti dalam bidang syariah di bandar al-Khalil, berdekatan dengan Baitul Maqdis. Sejak itu bermulalah keakraban saya dengan al-Aqsa. Setiap kali bersolat di sana saya melihat kekejaman tentera zionis kepada umat Islam Semangat saya membara. Saya menyertai demonstrasi bersama-sama pemuda lain sehingga pernah ditangkap dan ditahan selama enam bulan. Bermula hari tersebut, saya tidak lagi berhenti daripada mengikuti jalan perjuangan ini.
SYEIKH MERUPAKAN INDIVIDU PERTAMA YANG MENEMUI TEROWONG YAHUDI DI BAWAH MASJID AL-AQSA. BOLEH TUAN CERITAKAN TENTANG PERISTIWA INI?
Saya menemui terowong tersebut pada tahun 1996. Selepas itu saya terus mengadakan sidang media dan mendedahkan rahsia ini kepada masyarakat. Buat pengetahuan umum, Israel telah menggunakan bahan kimia dalam proses penggalian tersebut. Ia menjadikan struktur al-Aqsa rapuh dan ia boleh runtuh pada bila-bila masa. Saya telah mengadakan pameran, membuat filem dokumentari dan pelbagai cara untuk menyampaikan kekejaman Israel dan usaha mereka meruntuhkan al-Aqsa kepada dunia. Ini menjadikan saya sentiasa diburu oleh tentera mereka. Baru-baru ini kajian menegaskan bahawa Haykal Sulaiman benar-benar tiada di bawah al-Aqsa. Namun mereka masih meneruskan penggalian. Ini menunjukkan Israel benar-benar ingin menghancurkan al-Aqsa sebenarnya.
SYEIKH KATAKAN TADI SYEIKH PERNAH DIPENJARAKAN. BAGAIMANA KEKEJAMAN ISRAEL TERHADAP TAWANAN PALESTIN?
Sepanjang perjuangan ini saya telah dipenjarakan beberapa kali. Paling lama adalah selama 2 tahun iaitu pada tahun 2003. Tentera Zionis memang kejam. Saya tidak pernah tahu tentera mana lagi yang sanggup memenjarakan kanak-kanak selain Israel. Ramai di kalangan tawanan samada lelaki, wanita mahupun kanak-kanakdipenjara berabad lamanya tanpa sebab. Bahkan ada yang syahid di sana.Apa yang saya ketahui, lebih dari setengah juta rakyat Palestin yang dipenjara Israel. Tentera mereka menyeksa tahanan tanpa membezakan lelaki, wanita mahupun anak kecil. Ada wanita yang hamil digari kaki dan tangannya sehingga akhirnya beliau melahirkan anak dalam keadaan kaki tangan terikat. Mereka membesarkan anak-anak di dalam penjara. Ada tahanan yang tidak pernah berjumpa dengan anaknya kerana dipenjarakan seumur hidup. Dia hanya kenal anaknya di penjara saat anaknya membesar menjadi pemuda dan ditahan kerana mempertahankan Palestin sepertinya.
SYEIKH TENTU PERNAH BERURUSAN DENGAN PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM(OIC). MENURUT TUAN, APAKAH PERANAN DAN TINDAKAN SEBENAR YANG OIC PERLU LAKUKAN TERHADAP ISU INI?
Benar. Secara realiti kita memmiliki OIC. Saya telah melawat Setiausaha Agung OIC, Dr Ekmeleddin Ihsanoglu dan menceritakan situasi al-Aqsa kini. OIC telah memberi persetujuan dan berjanji untuk menunaikan kewajipan mereka sedaya-upaya. Cuma yang menghalang negara Islam daripada membebaskan Palestin adalah kesatuan. Hari ini kita tidak mencapai kesatuan umat yang rasmi untuk menyatukan umat Islam seluruh dunia akan memberikan seluruh bantuan kepada Palestin. Kita tidak meletakkan satu polisi politik rasmi yang berani untuk menyokong isu Palestin. Justeru itu, isu ini menjadi sukar untuk diselesaikan. Kebangkitan rakyat menunjukkan kerajaan perlu bersama dengan rakyat. Perlu meraikan kehendak rakyat dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan. Rakyat Mesir contohnya, inginkan perubahan untuk Palestin dan kerajaan perlu meraikan kehendak itu.
KITA TAHU MURSI, PEMERINTAH BARU MESIR BERJANJI AKAN MEMBANTU MEMBEBASKAN PALESTIN. SETAKAT INI SEJAUH MANA MESIR BARU MEMBERI KESAN KEPADA PERJUANGAN PALESTIN?
Semenjak memegang pemerintahan, Mursi berdepan dengan pelbagai tekanan daripada rakyat Mesir. Kemiskinan yang membelenggu dan desakan akibat pemerintahan terdahulu menyebabkan beliau dan anggota majlisnya terpaksa menumpukan perhatian kepada pembangunan semula Mesir. Mursi tidak memiliki keajaiban untuk mengubah semua perkara sekelip mata, tetapi saya yakin bahawa beliau akan melakukannya secara perlahan-lahan. Beliau memiliki akhlak yang baik yang sesuai untuk merubah Mesir dan Palestin di masa akan datang. Saya dan rakyat Palestin yakin bahawa Mursi berada di landasan yang betul untuk memperjuangkan isu Palestin. Masanya akan tiba nanti.
INI KUNJU7NGAN PERTAMA SHEIKH KE SINI. BAGAIMANA KOMEN SYEIKH TERHADAP MALAYSIA?
Apabila saya sampai di sini, saya melihat keamanan, kemajuan dan toleransi berjaya diamalkan. Saya lihat kejayaan ini boleh dibawa ke negara-negara Islam yang lain supaya kita dapat menyatukan umat Islam di tempat lain. Israel takut kepada penyatuan khilafah kerana ia dapat mebina kekuatan umat Islam. Itu yang sepatutnya telah lama kita lakukan, menyatukan umat Islam di seluruh pelusuk dunia di bawah satu akidah dan satu matlamat. Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia semakin peka terhadap isu Palestin. Kami sentiasa mengharapkan bantuan supaya kami terus mempertahankan bumi berkah ini. Biarlah kami berjuang di sana, kalian di sini menyalurkan kekuatan untuk kami terus bertahan.
TERAKHIR, APAKAH NASIHAT SHEIKH UNTUK UMAT ISLAM DI SINI?
Al-Aqsa adalah isu al-Quran. Allah SWT telah menerangkan kepentingan dan kelebihan Masjid al-Aqsa kepada umat Islam. Kita perlu pertahankan ia sebagaimana kita percaya kepada al-Quran. Palestin dan Baitul Maqdis bukan hanya isu perjuangan untuk lelaki, bahkan untuk wanita dan seluruh umat Islam. Biarpun Israel mempunyai senjata, mereka akan kalah. Itu janji Allah dalam al-Quran dan bukti daripada sejarah silam. Terima kasih buat rakyat Malaysia yang prihatin, teruskan perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa, simbol penentangan terhadap pihak yang melakukan rampasan dan kezaliman kepada umat Islam.